Tidak semua hari kita bermula dengan keadaan baik. Begitu juga dengan hari saya pada hari itu. Mengikut perancangan saya, selepas waktu sarapan saya akan membuat sedikit kuih bagi hidangan waktu petang. Bermula dengan menyediakan bahan-bahan, yang sengaja saya siapkan awal agar saya dapat menikmati pembuatannya dalam keadaan tenang.
Tetapi belum sampai waktu tengahhari, suami saya mengajak saya untuk ke Ikea, mencari sedikit barangan. Mujurlah segala bahan-bahan yang saya usahakan tadi telah hampir siap, dan sayapun mengarahkan anak-anak saya untuk bersiap.
Apabila orang terakhir iaitu saya lengkap dan bersedia untuk keluar dari rumah, anak kedua saya iaitu Eylham yang tidak silap saya ialah orang pertama yang siap tadi, masih belum bersedia untuk keluar rumah, masih leka dengan permainan komputer, dan kelihatan kelam kabut mencari kasut untuk disarung. Perkara inilah menjadi punca seluruh permulaan hari yang sepatutnya gembira kerana dapat berjalan-jalan menjadi kelam kerana suami saya bertukar menjadi bengis, dia memarahi Eylham kerana baginya perbuatan Eylham itu tidak patut kerana masa telah diberikan tetapi tidak digunakan sebaiknya. Sebaliknya digunakan untuk bermain permainan komputer, sifat leka, lalai dan tidak bersedia ini menunjukkan karakter lembab baginya apabila Eylham dewasa kelak.
Jadi setelah peristiwa dimarahi , dengan sedu sedan Eylham itu kami menuju ke kereta. Dan sepanjang perjalanan kami menuju ke Kuala Lumpur terasa sunyi kerana tidak seorang pun yang berkata-kata. Masing-masing dibuai emosi, suami saya masih marah, anak-anak kelihatan takut dan saya masih memikirkan tindakan suami yang bagi saya kurang wajar. Keadaan trafik yang super lambat juga telah menambahkan suasana pelik didalam kereta. Kebiasaannya kami adalah insan-insan yang ceria, sentiasa ada sahaja perkara yang kami bual dan ketawakan manakala anak-anak sentiasa berceloteh dan kadang-kadang sehingga berbalah kecil, lagu yang berkumandang juga boleh menyebabkan kami ikut menyanyi bersama. Pendek kata kami sentiasa memastikan aura positif sentiasa ada disekeliling kami, Namun berbeza sekali pada pagi itu, segalanya suram.
Keadaan trafik juga seakan-akan menambahkan lagi betapa canggungnya suasan di dalam kereta.
Apabila tiba di Ikea, perkara pertama yang saya cari adalah tandas kerana telah lama menahan diri sejak dari dalam kereta lagi, begitu juga Dania, anak sulung saya. Setelah segala urusan kecil diselesaikan maka kami pun menuju ke poin utama-Ikea. Jarak antara Ikea dan tandas lebih kurang 200 meter dan sebelum sampai ke Ikea kami sempat berhenti sekejap untuk melihat-lihat aktiviti yang diadakan di pusat membeli belah tersebut.
Ketika saya dan suami tengah bersemangat mengambil beg membeli belah Ikea untuk menjamu mata, tiba-tiba Dania berkata "sekejap, handphone kakak tertinggal di tandas tadi!" Dia dengan semena-mena dia terus turun berlari menuju ke tandas mengikut arahan hatinya yang dirasakan betul ketika itu. Suami saya yang hendak mengekorinya tidak sempat untuk menunjukkan arah yang betul. Akibatnya, kami kehilangan dia ditengah-tengah himpunan manusia pada tengahari itu. Dengan perasaan yang bercampur baur, saya dengan keadaan memastikan dua orang anak saya lgi ada bersama saya, turut mencari kelibat Dania. Begitu juga suami saya. Kami mengambil keputusan hanya menunggu disitu supaya dania mudah mencari kami setelah dia tersedar yang dia mengikut panduan hatinya yang salah. Alhamdulillah dalam dua minit kemudian Dania muncul kembali dengan wajah dan bibir yang pucat seolah-olah sistem tubuhnya berhenti menghantar darah ke bahagian muka. Kami pun terus menuju ke tandas tadi, yang mana pada waktu sama saya merasakan bahawa memang tiada harapan untuk menemukan kembali telefon bimbit tersebut, amat pasti dan yakin!
Setelah sampai saya dan Dania terus masuk, dan saya biarkan dia mencari dengan mata kepalanya sendiri, dan biarkan dia menguruskan masalah tersebut agar dia belajar sesuatu. Seperti yang saya jangka, tilikan saya memang tepat. Dania masih lagi ingin saya menuju ke kaunter khidmat pelanggan (adalah normal kanak-kanak merasakan semua manusia adalah jujur) tetapi saya dan suami mengambil keputusan untuk terus ke Ikea-kepada tujuan asal kami. Dan sekali lagi suasana sepanjang masa ketika dalam Ikea menjadi begitu canggung. Masing-masing bermain emosi lagi. Saya tahu suami cuba mengawal marah dan mulut, anak-anak bertambah takut kerana ini kesalahan kali ke dua dalam hari ini, dan saya sahaja yang positif mengatakan bahawa ada bagusnya handphone itu hilang, bolehlah dia menumpukan sepenuh masa terhadap pelajarannya!
Setelah mendapat apa yang kami cari iaitu set lukisan, warna dan sebagainya (itu adalah hadiah kami kepada Dania kerana pencapaian cemerlangnya pada tahun ini-mendapat kedudukan terbaik dalam keseluruhan kelas dan matapelajaran terbaik, juga itulah yang dia inginkan semasa kami bertanya apa hadiah yang dia inginkan), kami terus ke kaunter bayaran, selepas selesai membayar pada ketika itu barulah suami bersuara yang Dania patut fokus pada pelajaran tahun hadapan dan ada baiknya telefon bimbit itu hilang. Akhirnya semua bersetuju dan redha pada kehilangan telefon bimbit itu. Kes selesai dan kami pun meronda-ronda di dalam pusat membeli belah itu seperti keadaan normal. Suami sudah memujuk dan menerangkan kepada Eylham kenapa dia bertindak demikian pada pagi tadi dan Dania pun telah kami tekankan betapa pentingnya sikap sentiasa berjaga-jaga dan tidak cuai kerana kebanyakkan manusia pada zaman sekarang sudah hilang sikap jujur dan amanah. Saya juga gembira kerana dapat membeli buku bacaan saya, anak-anak dan suami inginkan permainan monopoly ultimate banking, dan semua dapat makan apa yang dihajati, walaupun sederhana.
Apabila kami sampai dirumah pada malam itu, keadaan sudah kembali normal, ceria dan penuh gurauan, mereka terus membuka mainan papan Monopoly yang dibeli tadi, manakala saya menguruskan hal-hal dapur sebelum ikut serta dalam permainan mereka. Anak-anak juga telah belajar sesuatu pada harini dengan cara yang paling tidak lembut dan saya bersyukur kerana kami melihat kejadian hari ni dari sudut positif kerana ada pengajaran disebalik setiap perkara. Kami gembira hari ini walaupun pada permulaan hari segalanya kelihatan kelam.