Parut dan cerita kehidupan

zellina(34)
Published in
#life
Words
291
Reading
2 min
Listen
Play
9y

F1859695-1D1E-413E-AD19-41CFC877C4AC-2611-000004D2072E62D5.jpeg

Ketika saya sedang sibuk menggoreng makanan disatu petang, tiba-tiba terjadinya letupan kecil yang mengakibatkan percikan minyak mengenai pada jemari saya. Memang terasa sakitnya sebab percikan itu bukan terkena pada satu tempat sahaja, juga terkena pada bahagian tangan yang lain. Tetapi kejadian itu saya abaikan sahaja dan meneruskan kerja-kerja saya.

Setelah keesokkan harinya barulah saya terasa pedih pada bahagian yang terkena minyak itu, dan bila saya periksa luka lecuhan itu sudah pecah, patutlah pedih sekali. Dan bila saya mengamati tangan kanan saya secara teliti, barulah saya perasan yang sikanan ini mempunyai banyak sekali parut yang berbilang saiz.

Jelas pagi itu saya tenggelam di dalam memori saya sendiri apabila melihat parut-parut yang ada. Parut yang besar itu saya dapat ketika sibuk mengemas barang-barang didalam laci ketika baru berpindah rumah lima tahun lepas, masih terasa suasana tidak terurus dan kucar kacir pada masa itu memandangkan eylham baru sahaja dilahirkan.

Parut yang panjang itu juga saya dapat ketika mengemas, dan menyusun atur rumah. Ada ketika parut -parut yang ada boleh mencuri masa kita untuk menelusuri kembali suasana dan kenangan yang berkisar pada waktu itu.

Parut- walaupun penampilannya selalu dinafikan, disembunyikan atau dihilangkan, tetapi dia tetap Parut. Biar saya gelar ia 'si penggamit memori'. Kehadirannya adalah hadiah percuma yang disertakan bersama kejadian yang pasti kita tidak boleh lupakan. Contohnya mereka yang pernah mengalami kemalangan, pastinya mempunyai parut, dan bila setiap kali terpandang akan parut, pasti memori dan sikap berwaspada akan datang sekali. Begitu juga parut-parut yang paling tidak dikehendaki oleh semua orang, iaitu parut jerawat! Tetapi itulah dia penanda bahawa kita pernah melalui fasa tumbesaran dan fasa kejelikan.

Jangan dibenci pada si 'Parut' kerana dialah kita ada pengingat memori kita satu waktu dahulu, menjadikannya siapa kita hari ini. Itu juga satu kesyukuran yang sering kita terlupa.
IMG_9839.JPG

Parut dan cerita kehidupan | Ecency