Luar biasa di sebalik biasa
Lazim zaman sekarang kita melihat orang-orang disekeliling kita mempamerkan kehebatan hidup mereka di laman sosial. Saya sering melihat paparan kawanan alam maya ni menunjukkan betapa suksesnya mereka berniaga, seolah-olah setiap hari dapat memukat hasil yang banyak. Belum termasuk lagi betapa bertuahnya orang-orang disekeliling mereka, suami atau isteri, ibu ayah dan anak mereka mendapat ganjaran atas keberjayaan mereka, melancong keluar negara, meja dipenuhi dengan maknan yang lazat, pakaian berjenama pereka terkenal dan sebagainya. Tipulah jika saya mengatakan yang saya tidak terkesan melihat semua itu, apatah lagi dengan keadaan sekarang ketika kami dilanda kegawatan ekonomi yang meruncing.
Setelah melihat dan membaca cerita begitu saya membandingkan pula dengan nasib diri saya. Kenapa kami biasa-biasa sahaja? Sedangkan kami melakukan perkara yang sama! Seringkali berfikiran begitu membuatkan saya semakin kurang mengucapkan syukur. Saya semakin sedar yang kami ini telah terlalu jauh tersasar daripada perintah Allah iaitu sentiasa bersyukur walaupun sekecil hama.
Saya mula memerhatikan sekeliling rumah yang sentiasa tenang ini- pertama, saya bersyukur kerana semua ahli keluarga saya sentiasa sihat walafiat dan mampu bergerak cergas. Syukur kerana Allah memberikan kesihatan yang baik kepada semua ahli keluarga saya, setakat demam selsema dan demam panas itu biasa bagi saya kerana itu cara badan bertindak balas terhadap faktor sekeliling.
Kedua- saya bersyukur kerana saya dikurniakan anak-anak yang cerdas dan sempurna. Bagi saya mereka adalah anak-anak yang super sederhana. Sedari bayi, mereka tidak renyah diurus, tiada masalah besar melibatkan kesihatan, mereka tidak petah dan fasih bercakap sehinggalah menginjak ke darjah satu. Walaupun ramai yang memberikan petua supaya anak-anak saya lancar bercakap, tetapi bagi saya biarlah kami suami isteri menikmati waktu comel pelat kanak-kanak mereka, kerana tidak selamanya mereka begitu. Tepat telahan kami, masuk ke darjah dua semuanya petah berkata-kata, lihat- mereka tiada masalah pun! Tiada yang perlu dicemaskan.
Ketiga- kami masih mampu makan walaupun sederhana. Pada masa kegawatan begini, kami bersyukur kerana kami telah biasa menahan lapar, dan makan secara sederhana. Begitu juga dengan anak-anak kami, mereka tidak cerewet dan memilih makanan, mereka juga tidak merengek meminta memaksa apa yang mereka mahukan. Mereka telah faham situasi kewangan ayah dan ibu mereka. Adalah mereka meminta kadang-kadang jika mereka terasa rindu untuk makan makanan kegemaran mereka iaitu pizza, dan kamipun menunaikan kehendak mereka, jelas nampak kegembiraan diwajah mereka.
Dengan mengamalkan makan secara sederhana ini juga kami secara tidak langsung berjaya mengawal berat badan dan menjalani hidup secara sihat, kerana tiada makan berlebihan dan kurang pembaziran.
Keempat- saya mensyukuri nikmat kegawatan ekonomi ini dengan merapatkan lagi hubungan kekeluargaan kami. Saya bertuah kerana keluarga kecil kami sangat harmoni, saya bertuah kerana ada suami yang sangat tidak banyak masalah. Dan saya juga turut memperbaiki nilai kemanusiaan saya agar tidak terlalu membebankan sesiapa. Saya belajar mengawal kemarahan, belajar mengawal kehendak dan bertoleransi dalam semua keadaan. Saya juga turut mengubah perspektif kehidupan ini, yang bukan sahaja kebahagiaan itu dinilai dari segi material, tetapi saya menilai kebahagiaan itu dari segi kemanusiaan.
Oh nampaknya, jam menunjukkan waktu untuk saya menyediakan makan tengahari untuk keluarga kecil saya. Saya ada terlalu banyak untuk disyukuri sehinggakan saya mampu menulis empat senarai ini sahaja sambil-sambil saya mengemas rumah kecil kami. Hiduplah dengan aman, lebihkan bersyukur, dan kurangkan merungut, ianya akan membuatkan hidup kita yang seakan-akan biasa ini sebenarnya luar biasa!