Kebahagiaan yang tersembunyi
Hari ini saya bangun seperti biasa di awal pagi. Kebiasaanya pada musim sekolah berjalan saya akan menemani Dania bersiap untuk kesekolah sehinggalah dania keluar untuk menaiki van. Sambil itu saya akan memeriksa keadaan rumah untuk mengenalpasti apa akan saya lakukan sepanjang hari tersebut. Sejujurnya, perkara rutin ini kadang-kadang membuatkan saya berasa agak jemu atau malas sebetulnya.
Saya selalu berfikir apa sebenarnya tujuan hidup saya ini, saya hanya suri rumah sepenuh masa, walaupun saya mempunyai ijazah kewartawanan. Saya cuba dan belajar menjadi usahawan, telah banyak pergi dan belajar tentang cara pemasaran seperti yang dijanjikan oleh mereka akan mengubah hidup, tetapi ianya tidak berhasil bagi saya. Iya, teknik itu berkesan pada sebahagian orang lain, cara yang baik dan mengagumkan, tetapi ianya seakan kalis segala-galanya bagi saya. Kegagalan - iya saya mengistiharkan ianya sebagai percubaan yang gagal bagi saya, sedikit sebanyak ada mencalarkan harga diri saya. Saya bukanlah siapa-siapa pun, tetapi harga diri untuk pencapaian peribadi saya, jika hendak dibandingkan dengan kawan-kawan sekolah lama yang ramainya agak berjaya.
Pagi ini, bertemankan secawan nescafe kegemaran saya, sambil merenung diluar jendela apartment saya, memerhatikan hiruk pikuk, kesibukan jalan raya, saya menyedari satu perkara. Saya mempunyai ketenangan dan kebahagiaan saya sendiri. Saya dapat memperuntukkan masa untuk menghayati sesuatu perkara dengan perspektif dan masa saya tanpa gangguan dari orang luar.
Saya juga bersyukur dengan tiadanya kerjaya luar saya seperti kawan-kawan yang lain, saya dapat melihat dan membesarkan anak-anak saya sendiri tanpa meminta bantuan dari luar. Saya memerhatikan setiap masa tumbesaran mereka. Menyedari perubahan mereka. Ikut dewasa bersama mereka. Terjun dalam dunia mereka, membuka demensi lain dalam dunia dewasa saya-kartun, permainan komputer dan elektronik, bacaan yang mereka minat dan yang paling membahagiakan sekali, saya selalu ada masa bergurau dan membuli secara lembut dengan mereka. Itu adalah momen yang akan diingati sepanjang zaman, baik pada mereka dan pada kami suami isteri. Ini adalah satu kebahagiaan yang patut saya syukuri sebenarnya.
Saya juga bersukur kerana saya sering mempunyai masa bersama suami saya. Suami saya juga seorang freelancer marketing. Dia memilih untuk bekerja dari rumah kerana ingin melihat kami setiap masa dan dia akan berpuas hati sekiranya kami sentiasa ada dihadapan matanya, ini kerana dia percaya dunia diluar sana tersangat rapuh dengan soal keselamatan dan kepercayaan. Iya, saya sangat bersyukur kerana suami membuat keputusan yang betul, kerana baginya seorang wanita tempatnya adalah dirumah, bukan untuk bekerja bersusah payah diluar sana dan menghadapi risiko setiap masa. Dengan ini Kami juga memiliki kebebasan waktu kami sendiri, kadangkala apabila terasa sedikit bosan ketika anak-anak berada disekolah, kami bertiga (termasuk si bungsu) akan keluar rumah untuk mencari hiburan sedikit atau mencari stok barangan dapur, tidak dinafikan membeli belah barangan dapur adalah satu terapi dan kegembiraan buat kami. Lama kelamaan saya menyedari bahawa ini juga adalah kebahagiaan yang patut saya syukuri.
Tidak memiliki kerjaya luar juga membolehkan saya menumpukan lebih perhatian kepada aspek kesihatan saya. Saya boleh memilih menu apa yang patut saya hidangkan di meja makan setiap hari, dan mengawalnya untuk setiap orang, maksudnya makanan pilihan kami lebih sihat kerana kami mengamalkan kesederhanaan. Saya tidak malu untuk bercerita pada kawan-kawan bahawa setiap hari paling tidak cuma ada 2-3 jenis hidangan sahaja di atas meja. Saya juga mempunyai masa peribadi untuk ke gym. Ya, itulah salah satu cara saya mengosongkan fikiran iaitu dengan berpeluh. Di usia mencecah 40-an ini saya sangat bersyukur kerana berat badan saya sangat terkawal, dan tidak mempunyai sebarang penyakit yang kronik. Iya, saya sangat mensyukuri satu nikmat yang ini. Mungkin pada orang lain ianya kecil, tetapi bagi saya ia satu rahmat terbesar yang diberikan Allah pada saya.
Tidak memiliki kerja pejabat juga membolehkan saya mempunyai masa untuk menggilap lagi minat saya dari bangku sekolah iaitu menulis. Saya mempunyai pejabat mudah alih sendiri dirumah. Dan saya mempunyai masa yang saya tentukan sendiri. Saya mempunyai masa untuk menonton dokumentari dan membaca buku atau artikel bagi mencari idea dan ilmu pengetahuan baru. Saya dan suami juga selalu membuat kajian di internet tentang teknologi akan datang dan bagaimana ia menjana kewangan kami. Saya boleh katakan bahawa suami saya seorang yang berfikiran unik dan lain dari orang lain yang saya kenali, kerana dia boleh bercakap tentang sesuatu yang ramai lagi tidak menyedarinya sedangkan perkara itu memang akan menjadi sesuatu yang besar bila tiba masanya nanti. Tidak disangka, ini juga adalah kebahagiaan yang bersembunyi disebalik kebiasaan.
Terlalu banyak nikmat tersembunyi yang dihidangkan dalam kebosanan saya tidak mempunyai kerja pejabat ini. Saya cuma tidak menyedarinya kerana terlalu sibuk membuat perbandingan dengan kawan-kawan lain yang kelihatan berjaya di mata saya. Sedangkan kebahagiaan itu datang dalam pelbagai bentuk yang dihantar oleh Allah SWT. Saya cuma perlu meluaskan perspektif saya sahaja.
Zalinasuria Ash